Lulu Pages

Terkini dari alin

Friday, December 5, 2014

Pengalaman tonton 'Penguins Of Madagascar' pada hari rabu


Salam pembaca..

Ini adalah kali pertama tonton wayang pada hari rabu. Rabu kan ada special price (GSC) hehe.. Seperti biasa, beli saja online, pilih tempat duduk dan bayar, siap. Kena lagi hall 1, memang kurang sangat orang. Wayang ni memang sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Happy saja kakak dan adik tonton wayang ni hehe. Oleh kerana sebelum jalan dan makan tengah hari (tonton 11.40) kat rumah, jadi kali ni nonton wayang tak payah beli popcorn. Bolehlah tumpukan perhatian sepenuhnya dengan wayang hehe..


Tapi, malangnya, buat pertama kali, alin asyik nak terlentok saja nonton wayang ni. Bukannya sebab wayang ni membosankan, tapi sebab mengantuk tak cukup tidur.. hehe, terlelap juga walaupun sekejap, tapi selepas tu, besarkan mata juga. Rugi pula kan masuk panggung tapi tak tengok wayang.


Mungkin lain kali kena ambil tiket macam biasa, sebelah petang atau malam. Tapi serius wayang ni memang best.. terus teringat dengan wayang Madagascar kan ;)





.

Wednesday, December 3, 2014

Beli anak kucing mix Parsian berusia 2 bulan


Salam pembaca..

Sudah dekat setahun tak ada pelihara kucing sejak pindah ke Kuching ni. Yalah, dulukan rumah berletak. Ada saja kucing luar yang datang singgah minta makanan. Terus secara tak rasmi jadilah kucing sendiri. Yang apabila dipanggil, pandai datang dan, bolehlah menumpang manja hehe. Tapi sejak pindah Kuching, terutama tinggal quarters ni, memang tak adalah kucing luar nak datang kan. Sunyi betul, terutama ketika masak tu, biasanya ada saja kucing baring santai di dapur. Jadi, bila kesunyian tu sudah tak boleh tahan, marilah kita buat carian membeli kucing untuk disayang-sayang..

Mula-mula tengok kat mudah.com tapi seperti biasa, kucing yang ada breed istimewa dan juga cantik, memang tergolong dalam golongan harga mahal, dan kadang-kadang mencecah sampai ribuan ringgit. Kita orang cuma nak cari kucing yang biasa. Ada mix pun tak terlalu pure, supaya senang nak jaga, dan tak mudah sakit. Mula-mula terpikat dengan mix maincoon dan british shorthair, budget dalam lingkungan RM450-RM600 (nampak kat group facebook). Tapi niat untuk tengok dulu tu susah tercapai sebab tuan punya kucing terlalu sibuk, tak ada masa. Kebetulan ternampak dalam mudah.com ada orang jual anak kucing berusia 2 bulan. RM300 seekor. Masa tu nampak ada 3 ekor. Terus wassapp, dan buat temujanji nak tengok keesokkan harinya bertempat dirumah penjual tu.

Bila tiba di depan rumah penjual tu, memang terus nampak anak-anak kucing tu dalam kandang didepan rumah. Hehe, terus kenal. Memang terus terpikat apatah lagi anak-anak kucing tu comel comel. Harga RM300 tu terus dikurangkan ke RM250. Jadi, taraaa... kami dah ada kucing kesayangan, yang dinamakan LUNA (betina), mak parsi, bapa kucing biasa. Walaupun bulu tak lebat sangat tapi, bagi kami dia sangat comel....dan nakal huhu...

Hari-hari permulaan, memang sukar juga sebab Luna ni tak mahu dalam kandang. Asyik mengiyau minta keluar (pada hal sebelah malam dan masa tak ada orang kat rumah saja pun dalam kandang). Huhu.. Rupa-rupanya dia nak bila kita masukkan dalam kandang, terus angkat dia letak kat tempat tidur yang beralaskan kain, ok, dia terus senyap dan tidur.. Oh macam tu pun ada hehe.. Lepas tu baru perasan Luna ni persis gambar kucing kat makanan whiskas dia, beza warna mata saja :)











.

Monday, December 1, 2014

Pengalaman beli tudung bawal di Aidijuma Concept Store Summer Mall, Kota Samarahan


Salam Pembaca..

Sejak beberapa bulan ni memang terjebak sangat dengan tudung bawal aidijuma ni. Untuk pengetahuan semua, di Sarawak ni, satu-satunya concept store yang ada hanyalah di Summer Mall, Kota Samarahan. Dari pengamatan alin, di sini, bila setiap minggu ada saja design baru keluar, tak adalah ekstrim macam concept store tempat lain. Sampaikan ada yang bertarik tudung, baris panjang seawal pagi dan selalu kecewa tak dapat beli. Di sini, biasanya keadaan tu santai-santai saja. Untuk alin pun, selalunya berlenggang saja datang, lepas tu ambik masa hampir setengah jam juga untuk belek-belek tudung bagi mengelakkan ada defect.

Tapi kebetulan datang sabtu lepas, untuk 8 design BL (black label) terbaru Aidijuma ni, terkejut juga tengok keadaan yang jauh berbeza berbanding biasa. Kedai belum buka, orang dah mula berbaris depan kedai. Bila kedai dah buka, jurujual tu agihkan setiap design ikut kehendak pembeli. Lepas tu masalah pula timbul sebab ada beberapa design tu ada defect yang sangat ketara. Kena pilih betul-betul. Hehe, geram juga tengok keadaan yang berbeza daripada biasa ni.

Tapi rupa-rupanya ada kisah disebaliknya. Menurut jurujual tu, minggu lepas masa design baru WL (white label) keluar, orang sampai berebut tarikh tudung tu dari rak, sampai ada yang koyak.. Hah??? Gila ganas kalau macam tu. Jadi, untuk mengelakkan keadaan yang sama berulang, mereka terpaksa ubah cara. Bagus jugalah, sebab nampak lebih sopan. Cuma alin betul-betul tak berkenan melihat seorang pembeli tu, ambil satu kali banyak satu-satu design, lepas tu duduk dilantai, pilih tudung yang tidak ada defect, kemudia tudung-tudung tu di longgok atas lantai sebelum ditindih dengan paha.. Adoi, dah macam kain buruk dia buat tudung tu..

Apa pun, dengan kejadian ini, dah boleh agak juga, keadaan concept store disini pun akan jadi agak tidak terkawal seperti concept store lain tidak lama lagi.. hehe..




.

Friday, September 26, 2014

SEMATAN PALM BEACH RESORT, gambar dan pengalaman sepanjang percutian




Salam pembaca..

Pengalaman bercuti di Sematan Palm Beach Resort yang terletak di Lundu, Sarawak memang mengujakan, apatah lagi bila encik suami maklumkan, sengaja nak bercuti sempena hari lahir alin.. yeay..


Perjalanan lebih kurang 2 jam dari bandaraya Kuching menuju ke Lundu, ya Sematan ni terletak kat area Lundu. Masa sampai kat sini memang ramai juga pengunjung. Resort ni tak adalah sebesar Damai Beach Resort atau Santubong Resort, ataupun Damai Puri, namun rasanya ianya punya keistimewaan tersendiri, jadi bila dah sampai, jom lah kita cari apa keistimewaan tu. Bila dah dapat bilik (alahai baru sedar tak ada ambil gambar bilik langsung..), terus masuk dan berehat.


Sempat lagi encik suami tertidur, sebab nak keluar mandi pun matahari terik sangat. Sebab masa tu kita orang sampai sini lebih kurang pukul 2 petang. Bilik tu dilengkapi dengan kemudahan yang basic saja. Nak kata mewah tak adalah. Tapi kira okeylah kan. Bagi alin, alin memang lagi suka ke Damai Beach Resort (nanti kita buat entri).


Bila turun nak mandi, perasan air laut ni jauh sangat dari pantai. Memula tu terfikir mungkin air surut. Tapi sampai malam, tak juga dekat pantai, oh nampaknya memang macam tu lah keadaannya. Jadi kalau nak mandi laut tu, kena menapak agak jauh juga.


Terus rasa tak best sebab bila dah sampai air laut, berpaling kebelakang, bangunan resort tu nampak kecik saja (jauh). Jadinya, petang tu sajalah mandi laut, lepas tu tak pergi sudah.. Mandi swimming pool saja.


Hah cerita swimming pool pun tak best, sebab kolamnya timbul macam tu.. Huhu tak tau lah, selera masing-masing kan, tapi bagi alin, memang rasa tak best.


Menginap kat sini, memang lengkap dengan pakej makan. So tak risau sangat nak beli makanan sebab dekat-dekat tempat ni (kat luar) memang takde restoran. Tapi dah makan malam, sarapan, huhu makanannya tak sedap.. Kecewa.. :(




Kalau korang datang group nak barbecue, ada disediakan tempat untuk panggang, dan dikenakan bayaran yang murah sangat. Memang selesa. Tempat ni juga ada sediakan kemudahan berbasikal. Sewa saja basikal tu dan bolehlah pusing-pusing area ni. Kawasan tak adalah besar sangat pun, tapi okeylah kan. Ada juga children playground kat situ untuk anak-anak kecil anda bermain.





Pada alin, secara keseluruhan, alin dan keluarga nilai tempat ni 2.5/5 *
Aiyoh, tapi tak pastilah korang macam mana.. kan selera masing-masing berbeza.. Untuk anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tempat ini, boleh direct ke laman web nya SEMATAN PALM BEACH RESORT -Tq encik suami.. *hugs





.

Thursday, September 11, 2014

Segmen Ben Ashaari : Impian Ku , Seorang Blogger !


Salam pembaca..

Hehe ini first time alin join segmen ni.. Saja kebetulan ada masa untuk update blog. Alin sebenarnya tulis blog untuk suka-suka, menulis mengenai kehidupan. Selalunya memang tak update pun, disebabkan kekangan masa, tapi yelah alin berusaha juga update sekali sekala dan alhamdulillah tak sangka ada beberapa entri mendapat pembaca yang mengakui entri itu 'berguna' buat mereka. Antara entri tersebut adalah entri keadaan jalan baru Kalabakan-Sepulot yang menghubungkan Tawau dan Kota Kinabalu, entri percutian di Surabaya, Taman Safari Indonesia II, Prigen, Pasuruan, Jawa Timur, dan entri Desa Dairy Farm, Kundasang, Ranau yang mengandungi banyak gambar pemandangan cantik tempat itu.

Kelebihan blog? Tak adalah kelebihan sangat pun, cuma semoga setiap perkongsian akan dapat menjadi manfaat buat pembaca. Blog ni dah macam jurnal untuk apa saja yang kita buat, dan tempat kita pergi. Kalau tak memang akan lupa macam tu saja.. Harapan alin, semoga alin rajin update blog ekeke, semoga dapat luangkan lebih masa untuknya. Itu jer nak tulis.. buat yang baru singgah, salam kenal :)





.

Monday, September 1, 2014

Kiriman barang dari mami di Tawau (sambal tempe)



Salam pembaca..

Baru-baru ni mami telefon, bagitau ada anak angkatnya dari Tawau, akan berkunjung ke Kuching atas urusan kerja. Dijangka tiba menaiki flight transit dari Kota Kinabalu ke Kuching pada sebelah malam ahad lebih kurang pukul 9 malam. Jadi, mami ada kirim barang dari sana buat kami di bumi perantauan ni..hehe perantauanlah sangat. Antaranya adalah tempe yang siap dimasak sambal tempe, wohoo memang kegemaran alin dan anak-anak. Ada juga kiriman lain yang berupa keropok kering (kena goreng sebelum makan) dan beberapa barang lagi, semuanya makanan ngeh ngeh.

Keesokkan harinya terus masak nasi lemak makan dengan tempe tu. Huhu mabeles.. Kat Kuching ni, setahu alin baru ada satu tempat yang memang ada jual tempe.. itupun nipis sangat dengan harga RM1, hanya ada di Pasar Niaga Satok sebelah hujung minggu. Kat rumah ni, tempe memang antara lauk yang wajib ada kat rumah setiap minggu. Bolehlah masak dan makan 1-2 kali seminggu. Tapi sejak tinggal kat Kuching ni dah jarang sangat makan. Walaupun ada jual kat Pasar Niaga Satok tu, tapi tak laratlah nak kesana tiap-tiap minggu.. Jauh.. Sebab dekat rumah pun ada pasar juga, untuk beli makanan laut macam ikan, udang dan sotong. So memang terpaksa redha jarang dapat makan tempe sekarang ni..

Tapi sebenarnya ada banyak lagi makanan lain yang kita orang memang susah dapat bekalan kat sini. Ya, memang kena redha sebab lain tempat kan lain budayanya. Lain juga seleranya. Ada juga apa yang ada kat Kuching ni takde kat Tawau, so mahu tak mahu kena belajar menyesuaikan diri. Dan tak terasa, dah dekat setahun kita orang sekeluarga berhijrah dari Tawau ke Kuching. Setakat ni, alhamdulillah kami memang serta-merta dapat menyesuaikan diri. Kadang tu ada perasaan, bila berada di Kuching, rindu kat Tawau, dan begitu juga sebaliknya, bila berada di Tawau, teringat-ingat pula Kuching ni..



* Rugi rasanya kalau korang tak pernah berkunjung ke bumi Sarawak, yang kaya dengan etnik, budaya dan pelbagai makanan. Jom, Regatta Sarawak bertempat di Waterfront pada 4-7 september.. Satu acara yang memang alin sendiri tak pernah lagi pergi, tapi alin sedia maklum ianya adalah acara popular di Kuching ni setiap tahun..




.

Friday, August 29, 2014

Parking Coupon kat Kuching yang agak pelik bagi alin...



Salam Pembaca..

 Tertarik dengan rupa parking coupon ini, maka alin ambil keputusan untuk buat entri khas untuknya kat blog ni. Dekat Tawau, memang ada juga parking tiket, tapi takdelah se-detail yang ni. Siap boleh gores-gores ikut tarikh kita guna. Okey, untuk lebih lengkap, bukan semua tempat kat bandaraya Kuching ni guna parking coupon macam ni. Biasanya, adalah guna mesin yang kita tekan sebelum kereta masuk, dan bayar kat mesin khas sebelum kita keluar bangunan. Hah yang ni memang ada banyak kat sini. Tapi parking coupon jenis ni masa nak ke Klinik Pergigian Jalan Masjid, Kuching sebab encik suami nak buat review gigi kat situ (pakar). Pertama kali pergi, sebab tak tau, balik saja nak masuk kereta terkejut ada kertas merah kat tingkap depan. Oh rupanya parking takde parking coupon so, kena kompaun RM5.. Haha tak sangka..

Jadi, untuk kali kedua, kita orang dah terrer, so encik suami siap beli untuk 2 jam. Boleh nampak kat coupon tu, 30 minit pertama 20 sen, dan seterusnya sehinggalah cecah 80 sen. siyes unik sampai simpan dalam beg tangan hehe. Tapi masa tu takdelah kita orang sampai 2 jam pun dalam klinik tu. Tak sampai sejam sudah gerak. Tapi memang lebih baik beli lebih masa, takut pula terlajak masa, hah pasti akan kena kompaun lagi sebab petugas parking tu asyik round saja area parking tu..  Lepas tu dia akan berdiri lama kat depan cermin keta untuk tengok samaada parking coupon tu tak melebihi masa.






.


Friday, June 13, 2014

Anda belum ada jadual lengkap Piala dunia/World Cup 2014??


Salam pembaca!!

Umum tahu piala dunia sudah dibuka dalam satu majlis perasmian gilang gemilang awal pagi tadi dan terus disusuli dengan pembukaan perlawanan pertama iaitu Brazil menentang Croatia. Yang menyaksikan gergasi bola sepak ini, Brazil menang selesa dalam perlawanan itu. Bagi peminat bola, piala dunia tidak akan lengkap tanpa jadual penuh perlawanan.

Masih tidak terlambat untuk anda yang belum ada jadual perlawanan kerana anda boleh mendapatkan jadual perlawanan yang lengkap dan berwarna dalam majalah astro view keluaran bulan jun. Dan untuk anda yang rasa ingin lebih mudah, anda boleh saja muat turun jadual perlawanan itu menerusi aplikasi di telefon anda, hah bolehlah sentiasa update walau dimana juga berada kan.


Setiap kali musim piala dunia tiba, memang agak sukar juga kalau ada pasangan yang tidak sama-sama minat. Namun mungkin bagi pasangan yang tidak sama minat, anda bolehlah tarik nafas lega sebab keseluruhan perlawanan hanya berlangsung di waktu subuh waktu Malaysia. Siap mata panda hehe. Alhamdulillah dirumah ni, alin dan suami ada minat yang sama dan takde masalah duduk berdua dan enjoy tonton hehe. Apa yang buat kami lebih teruja, ini adalah world cup pertama kami lengkap dengan astro pvr.. Boleh rakam dan tonton sampai puas.

Walaupun berkongsi minat yang sama, tapi pasukan yang kami sokong sangat berbeza. Encik suami lebih menyokong Italy dan Argentina, sementara alin pula Spain.. Enjoy piala dunia/world cup dan insha Allah selamat menyambut bulan ramadhan...





.

Thursday, June 12, 2014

Pemandangan Gunung Kinabalu dari dalam penerbangan menuju ke Tawau


Salam pembaca..

Dah banyak kali menaiki penerbangan antara Tawau dan Kota Kinabalu. Tapi memang selalu tak perasan pemandangan menakjubkan ni, boleh tengok Gunung Kinabalu tersergam indah dari dalam kapal terbang. Subhanallah, betul-betul boleh nampak dengan jelas puncaknya. Rasanya, kalau kamu menaiki penerbangan awal pagi, mesti boleh nampak orang mendaki kat atas puncak gunung tu. Sebab alin pernah nampak ketika lalui pergunungan ni menaiki kereta disebelah pagi. Waktu yang paling tepat ialah ketika matahari terbit..

Peluang melihat pemandangan menakjubkan ni tak dilepaskan begitu saja. Terus capai handphone dan ambil gambar. Cantikkan? Memanglah cantik. Biasa kalau dari bawah, selepas jam 9 pagi memang susah nak nampak puncak gunung ni disebabkan sudah tertutup dengan kabus. Tapi melalui penerbangan ni, dalam pukul 10 pagi, masih boleh nampak dengan jelas puncak gunung tu.


Ada kisah disebalik kepulangan kami kali ini. Inilah kepulangan yang pertama sejak 'tinggal' kat Kuching ni. Agak kekok juga, tapi perjalanan yang singkat ni nampaknya terancang dengan begitu baik, dan walaupun banyak juga duit yang habis ( yelah dari Kuching ke Tawau kena naik 4 penerbangan ulang alik, sebab takde direct flight. Kena melalui Kota Kinabalu), sekurang-kurangnya kami enjoy..dan misi utama kami kembali dapat dilaksanakan dengan jayanya





.

Wednesday, April 23, 2014

Ada apa dengan negeri Sarawak??

Salam pembaca..


Ya, ada apa dengan Sarawak. Sejujurnya bagi alin, tak pernah terfikir pun untuk menjadikan negeri jiran kepada Sabah ni satu destinasi percutian, apatah lagi untuk menetap di sini. Tapi alhamdulillah, Allah takdirkan keluarga kecik kami ni berpindah dan menerima penghijrahan terindah ni, walaupun terasa berat sangat nak tinggalkan rumah sendiri kat Tawau.. Alin memang tak pernah sampai lagi Sarawak ni. Walaupun mana-mana daerah. Tapi bila ambil keputusan untuk berhijrah dan menggunakan kenderaan sendiri, lebih tepat lagi jalan raya, terasa penghijrahan kali ni sangat istimewa dan kami melalui hampir semua bandar besar dan juga daerah kecik di sepanjang perjalanan tu. Betul, pengalaman ni terlalu berharga jika mahu dibandingkan dengan wang ringgit dan penat lelah sepanjang perjalanan tu.

Sebelum ni ada dengar mengenai projek Bakun. Ya, kami melalui jalan masuk ke situ. Begitu juga dengan banyak hutan simpan, sungai atau lebih dikenali dengan 'batang' disini. Sungai Rajang, hoh, biasa tengok sungai Kinabatangan di Sabah pun dah boleh rasa takjub sangat, tapi Sungai Rajang lagi besar. Dari jauh lagi dah nampak jambatan besar merentasi sungai itu, dah macam jambatan Pulau Pinang pula. Dalam perjalanan ni juga, baru tau yang kebanyakan rumah panjang (ada banyak yang didirikan di sepanjang jalan), kini didirikan berasaskan batu bata, bukan lagi kayu, huhu mereka juga sudah maju. Hebat. Ya, Sabah Sarawak memang sudah jauh mencapai tahap kemajuan. Kadang-kadang tu terasa juga dengan penghijrahan ni, minda pun akan turut terbuka. Tengok tempat orang, dengan budaya berbeza, dengan persekitaran yang asing, namun bagi kami insha Allah lambat laun kami pasti akan dapat menyesuaikan diri.

Menyusuri Sungai Sarawak yang berhadapan Waterfront memang sangat mendamaikan. Melihat kawasan sekitar, yang tidak pernah sunyi dengan kewujudan pelancong luar dan dalam Malaysia, juga berkali mengingatkan diri, yang kami bukan lagi berada di bumi kelahiran, tapi berada jauh di bawah peta borneo.. Jom, untuk yang belum berkunjung ke Sarawak Bumi Kenyalang, rancang percutian anda kemari, dan pasti anda tidak akan kecewa dengan keindahan bumi Kenyalang, juga melihat sendiri negeri yang kaya dengan budaya ini..





.

Monday, April 7, 2014

Day 3 : Dari Bintulu terus ke Kuching, Sarawak.. Yeay kami dah sampai ke destinasi

Salam Pembaca..


Menginap di hotel ParkCity Everly Hotel Bintulu, memang sangat selesa, terutama hotel ni bersih, selesa, besar dan terletak di kawasan yang sangat strategik. Untuk pengetahuan Bintulu ni sebuah bandar yang agak besar juga, tapi bermalam di bandar ini, memang agak kurang selesa buat kami, sebab agak sukar juga mencari makanan halal. Seperti biasa, bila travelling, makanan yang mudah dan pasti halal bagi kami hanyalah KFC. Tapi KFC yang berada dibandar Bintulu sangatlah kecil, dan servis pun sangat lambat. huhu... Tarik nafas panjang, sebab bila tahan lapar dari Miri, tapi susah cari makan kat Bintulu. Namun begitu bila dapat hotel yang best, alhamdulillah, bolehlah rehat dengan selesa. Malam, sempat lagi berjalan kaki, merentasi jalan ke stesen minyak depan hotel untuk cari megi..


Disebabkan keadaan kami yang tak berapa selesa di Bintulu, kami ambil keputusan untuk gerak awal pagi menuju ke Kuching. Selepas perjalanan yang begitu panjang dan meletihkan, terasa lebih baik kami segera sampai ke destinasi. Untuk pengetahuan, ada ketikanya dalam perjalanan ni, alin akan guna WAZE. Perjalanan yang sangat mengujakan sebab akhirnya kami tiba juga di suatu tempat yang sangat asing bagi kami, iaitu Kuching. Dalam hati memang ada rasa serba tak kena. Maklum saja, dari daerah kecil, berpindah ke bandaraya sebesar Kuching, memang sangat jauh berbeza. Sedar dengan cabarannya, alin yakin lambat laun, pasti kami akan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan ini..






.

Tuesday, March 18, 2014

Day 2 : Dari Lawas menempuhi perjalanan yang mencabar sehingga tiba ke Bintulu [Entri banyak gambar]


Salam pembaca..

Hari pertama, yang sukar, tapi alhamdulillah, kami dapat hotel yang sangat memuaskan di Lawas, untuk rehat yang mencukupi sebelum meneruskan perjalanan yang panjang keesokkan harinya. Adalah sangat penting untuk ambil tahu detail setiap perjalanan, untuk memastikan kita betul2 bersedia untuk sebarang kemungkinan. Ini adalah perjalanan pertama kami sejauh ini, dengan hanya menaiki kereta sedan yang dah berumur 4 tahun, dengan 4 orang dan muatan barang yang sangat penuh.


Dan destinasi rehat kami di Lawas adalah Hotel Seri Malaysia, yang serba selesa dan memuaskan, dengan pemandangan Batang Lawas (Sungai Lawas) yang sangat cantik dihadapan. Tambahan pula dengan perkhidmatan harga diskaun khas buat kakitangan awam, kami suami isteri terus tersenyum lebar.. hehe haruslah..


Bangun pagi, buka tingkap dan terus menikmati pemandangan cantik Batang Lawas, owh alhamdulillah berpeluang melihat pemandangan cantik ini. Kalau tak kerana perjalanan menaiki kereta, memang mimpilah nak sampai ke Lawas. Sebelum memulakan perjalanan, kami menikmati sarapan yang enak (pakej sarapan sekali dengan bilik hotel). Isi minyak, dan bermulalah perjalanan hari kedua kami..


Memasuki Negara Brunei, ini adalah pertama kali kami menginjakkan kaki disini (walaupun sekadar di pos kawalan). Sebuah negara yang benar-benar menakjubkan, walaupun kereta kami hanya melaluinya dalam perjalanan. Mengelakkan perjalanan yang panjang, kami memang takde niat langsung singgah jalan-jalan kat Brunei ni.


Sepanjang perjalanan memang hujan. So, susahlah nak ambil gambar dari dalam kereta. Menariknya Brunei, mereka mementingkan bahasa melayu sebagai bahasa utama.. Subhanallah, terus malu rasanya kat situ, sebab setahu alin, bahasa utama di sini sudah tentulah bahasa Brunei kan. Tapi mereka mengutamakan bahasa melayu dan ini terbukti dengan papan tanda jalan dan iklan disepanjang jalan ditulis menggunakan bahasa melayu, dan lengkap dengan bahasa jawi dibawahnya, walaupun ada kedai yang menggunakan nama cina.



Anehnya, berada di dalam negara ini, hati terasa sangat tenang dan damai. Insha Allah, ada waktu dan kesempatan, kami pasti akan datang lagi ke negara ini. Melihat satu papan tanda, alin terkejut 'Awas.. Kenderaan berpusing dihadapan..' Faham tak maksudnya? Hah U-TURN :)


Tiba di Miri, bandaraya yang besar dan maju. Pada mulanya kami rancang untuk berhenti rehat, sebab kebetulan masa tu tengah hari, perut pun dah lapar, ingat nak cari KFC singgah makan nasi, tapi pusing-pusing dengan WAZE, nampak KFC ada dalam mall, nak singgah mesti buang banyak masa, so kita orang keluar Miri dan teruskan perjalanan.


Perjalanan dari Miri ke Bintulu, mengikut yang alin google, adalah 2 jam 43 minit. Tapi perjalanan tu lewat sangat sampai sebab keadaan jalan yang sangat teruk. Siyes teruk sangat. Berlubang dan beralun, sedangkan jalan rata saja.. Nampak sangat takde maintenance huhu. Pening kepala, mengantuk, lepas tu badan sakit. Dah lah lapar.. menyesal tak singgah makan. Dan setibanya kami di Bintulu, nasib baik dapat hotel yang sangat best untuk lepaskan lelah sebelum meneruskan perjalanan.. Tapi ada masalah lain pula yang timbul..





@ sambung entri seterusnya..




.

Monday, March 10, 2014

Day 1 : Perjalanan meninggalkan bumi kelahiran, Tawau Sabah menuju ke Kuching, Sarawak.



Salam pembaca..

Sebaik saja barang siap packing dan dialihkan dari rumah, kita orang pun kena bersiap untuk 'gerak' terus ke Kuching, Sarawak. Masa tu keadaan memang suntuk sangat. Dengan beberapa hari letih urus barang sampai tengah malam, lepas tu kena bangun awal pagi lagi untuk sambung kemas barang, owh badan memang sangat letih. Tidur dan makan pun dah tak menentu sebab barang dah mula kosong dalam rumah. Disebabkan cuti encik suami bakal habis, kami memang tak ada pilihan untuk segera memulakan perjalanan.

Untuk pengetahuan, kereta tak masuk kargo, sebab kami memikirkan pasti sukar jika tiada pengangkutan di sana nanti, memandangkan kargo hanya akan sampai dalam sebulan.. huhu memang lama. So, untuk meneruskan kelangsungan hidup, hantar anak sekolah, beli barang dapur/berurusan, kami buat keputusan untuk menaiki kereta melalui perjalanan yang jauh menuju ke Kuching Sarawak. Sejak beberapa hari dah buat semakan kat internet, agar tak sesat dalam perjalanan. Memang dah biasa dengan perjalanan jauh. Setakat Tawau-Kota Kinabalu tu dah biasa sangat. Tapi tak pernah lagi direct Tawau ke Sarawak ni, walaupun sekadar sempadan iaitu Lawas. Jadi, dalam teruja tu ada juga rasa was was.

Bersama perjalanan, memang alin dah siapkan sedikit barang keperluan am, yang sangat penting digunakan sementara menunggu barang lain dalam kargo sampai. Macam baju, baldi, kuali elektrik, periuk nasi, cerek elektrik, bantal, toto dan beberapa barang lagi. Oleh kerana sapu dan mop lantai sampai subuh (kena bersihkan rumah sebelum tinggalkan rumah), tidur hanya beberapa jam sebelum bangun awal untuk memulakan perjalanan jauh. Malangnya, 6 pagi baru terbangun, sebab letih sangat dan tak cukup tidur. Huhu kesiangan.. Pagi tu juga baru bersiap dan cuba masukkan barang dalam kereta. Masalah besarnya, dari malam hujan turun, dan niat nak jalan menggunakan jalan Kalabakan terpaksa kami lupakan, sebab ada jalan tak siap sepenuhnya lagi. Dengan hujan, memang pasti akan memburukkan lagi keadaan jalan. Lepas tu, barang tak muat dalam kereta :(

Terpaksalah muatkan walaupun dalam ruang yang kecik dalam kereta sebab semua barang yang dibawa penting untuk digunakan. Tempat duduk belakang pun terpaksa dipenuhi sebahagian darinya. Itu membuatkan adik dan kakak tak dapat duduk/baring dengan selesa sepanjang perjalanan. Terpaksa huhu.. Ketika nak tinggalkan rumah, encik suami dan alin memang berat sangat nak tinggalkan rumah.. Rumah kami sendiri :( namun demikian, keputusan kami untuk berhijrah ini diharapkan dipermudahkan Allah..

Alhamdulillah, sepanjang banyak kali perjalanan jauh kami selama ni, tak pernah lagi jalan raya lenggang, kurang sangat kereta, terutama jalan lama, Tawau-Sandakan-Kota Kinabalu. Betul-betul dipermudahkan. Jalan lancar, dan walaupun memulakan perjalanan lewat, tapi kami takdelah lewat sangat. Sampai Ranau, makan tengah hari, dan kami tiba-tiba buat keputusan untuk menggunakan jalan Tambunan-Keningau, tanpa menuju ke Kota Kinabalu kerana merasakan lebih dekat untuk ke Sipitang. Kalau boleh perjalanan hari pertama kami berakhir di Lawas, Sarawak. Ya, dalam keadaan yang mulai gelap, kami tiba juga di Sipitang. Sedih masa sampai di pos kawalan. Bermakna kami mulai tinggalkan bukan saja Tawau, juga Sabah dan mulai berada di negeri lain, iaitu Sarawak. Kami tiba di Lawas, dan cari hotel untuk menginap, sebelum meneruskan perjalanan awal pagi esok..




*entri seterusnya..





.


Friday, February 21, 2014

Dugaan berpindah dan urusan kargo yang sukar



Salam pembaca..

Impian encik suami sebagai seorang pengajar, alhamdulillah tercapai juga. Itu bermakna tidak ada yang mustahil di dunia ni, dengan izin Allah. Asalkan kita mahu berusaha. Ya, bukan sedikit perjuangan kami untuk sampai kesini.. Setiap pengorbanan, masa, wang ringgit dan macam-macam lagi, akhirnya sudah tiba masa untuk kami kaut hasilnya. Tiada kata-kata lain yang mampu kami ucapkan hanyalah bersyukur pada Allah.

Beberapa hari selepas balik dari KL melapor diri, encik suami terbang pula ke Kuching menaiki 2 penerbangan, sebab takde direct flight dari Tawau ke Kuching. Dan sebaik tiba, dia lapor diri di kolej, dan selepas itu bermulalah tanggungjawab baru. Bermulalah dunia yang asing bagi kami semua. Mujurlah ketika itu waktu persekolahan belum dibuka. Anak-anak masih bercuti, dan kami berpisah dengan encik suami. Sementara menunggu kelulusan kargo dari tempat kerja lama encik suami, kami akan berpisah. Sebelum ni, masa 2010 encik suami sambung belajar, kami anak beranak memang biasa hidup berdikari. Masa mengandungkan adik pun, alin sorang-sorang urus anak. Jadi, bila dalam keadaan seperti ini, memang dah biasa sangat. Masa itulah suis on untuk berdikari.

Tapi urusan kargo ni nampaknya macam tak pandai nak selesai. Sampailah ke bulan seterusnya, dan persekolahan sudah mula dibuka. Dan yang paling menyakitkan, anak-anak mulai silih berganti sakit, demam. Dan akhirnya alin juga sakit. Tiba-tiba badan panas dan hilang selera makan. Adik pun terus susah nak bercakap. Diam saja. Disitu, alin sedar yang kami semua rindukan encik suami. Memandangkan keputusan sebelum ini, menunggu kelulusan kargo nampaknya tidak mendatangkan hasil yang positif, alin beritahu encik suami, mungkin ini masanya untuk tinggalkan semua dan jadikan keluarga kepentingan utama. Rasanya lebih baik juga encik suami mohon cuti untuk berhadapan dengan proses perpindahan yang nampaknya sangat rumit ketika itu.

Ya, kami sedar untuk urusan perpindahan, memang mudah sebab ada garis panduan untuk semua urusan. Tapi rasanya masalah birokrasi menyukarkan urusan itu. Apatah lagi bila beberapa pegawai yang bertanggungjawab saling tolak menolak, dan meletakkan pelbagai alasan. Anak-anak sudah mula ketinggalan pelajaran, dan masih tidak ada progress..huhu kadang tu hairan juga dengan sesetengah pegawai yang diamanahkan menjalankan tugas begini, seolah-olah tidak berperikemanusiaan sengaja melengah-lengahkan. Dengan adanya encik suami, dan nampak macam dia pula yang kerja kat pentadbiran tu, telefon sana-sini, buat surat, cari dokumen.

Dan alhamdulillah, walaupun dengan dugaan sebegitu, menghampiri cuti encik suami yang sudah mulai habis (2 minggu), kargo lulus, dan pekerja shipping tu sudah mula datang ke rumah untuk packing barang.. cerita selanjutnya....





.

Saturday, February 8, 2014

Lapor diri di Putrajaya, sekali bercuti, ke pesta buku dan ke Final Super Series.. Pakej yang lengkap

Salam Pembaca.


Sejak entri terakhir, memang dah lama tak update blog ni. Biarlah cerita basi, tapi tetap nak kongsikan juga, manalah tau satu hari nanti ada juga pembaca yang sesat datang ke blog ni, dan dapat jadikan salah satu entri blog ni jadi rujukan dan panduan.. hehe, sebenarnya baru perasan ada blog terkenal jadikan salah satu entri blog ni sebagai rujukan untuk jalan Kalabakan-Sepulot.. Yeay, kan ada juga gunanya buat orang lain..

Melalui entri sebelum ni, alin kongsikan yang encik suami dapat rezeki besar naik pangkat. Alhamdulillah, tahun lalu memang banyak sangat rezeki. Bagaikan mimpi, satu persatu impian tu menjadi kenyataan. Sampai macam dalam mimpi. Alin berharap sangat tarikh encik suami lapor diri tak clash dengan kursus kejurulatihan di Kota Belud. Alhamdulillah, memang tak. Alin juga teringin sangat ke pesta buku, kebetulan berlangsung 11-15 Disember 2013. Dan mengejutkan, tarikh lapor diri encik suami kena pada 16hb. Macam nak bersorak pun ada. Beli tiket beberapa hari awal, dan alhamdulillah dapat juga menjejakkan kaki ke situ.


Walaupun agak mengecewakan sebab pesta buku tu tak besar sangat dan tak semua publisher turut serta, malah diskaun pun takdelah besar sangat, alin berjaya juga merembat 20 buah buku dan lebih separuh daripadanya adalah keluaran terkini, pelbagai publisher. Masa tengah ambil novel tu, salesgirl ada juga suggest alin ambil novel itu novel ini, tapi sebenarnya, jujur, alin dan ada senarai yang panjang untuk novel yang dibeli, sebahagiannya adalah terkini. Pendek kata, alin memang dah betul-betul bersedia sebelum datang. Ingat senang ke..? huhu.. dari Tawau ke KL nak beli novel tu.. Dan encik suami senyum saja bila bayar.. :)


Ada juga impian besar kami sekeluarga , nak sangat tengok Datuk Lee Chong Wei main, LIVE depan mata. Kebetulan sangat juga, masa tu tengah berlangsung Final SuperSeries. Hari final tu 15hb, kami bergegas ke Stadium Badminton Cheras, lebih kurang 15 min sebelum pukul 2 petang, dan nampak ada ramai orang yang sedang baris untuk beli tiket masuk. Wah teruja sangat, sebab tiket masih ada dan sorakan gemuruh sudah kedengaran dari dalam stadium.. Hei impian bakal terlaksana.. Tapi malangnya, hanya beberapa orang yang dapat beli tiket, lepas tu tiket habis..


Pusing-pusing tunggu ulat tiket. Sebab ada ulat tiket jual tiket 2 saja, kita orang kan 4 orang. Kecewanya dah sampai situ tapi tak juga dapat masuk..huhu.. Entahlah, tiba-tiba Allah bagi rezeki, lalu kat pintu depan, ada seorang lelaki india yang duduk kat depan tu, bagi kita orang masuk :'( . Terima kasih sangat.. Masuk jer dalam stadium tu memang dah penuh sangat. beberapa perlawanan termasuk masa Datuk main, kita orang berdiri saja kat belakang. Kaki memang lenguh, tapi sebab rasa teruja tak payah hirau.. 2 perlawanan terakhir baru dapat duduk.. Adik sampai tertidur kat dalam tu sebab letih sangat..hehe, semangat, impian terlaksana..

Bila tiba hari lapor diri, awal pagi encik suami dah bersiap untuk ke Putrajaya. Pakai pakaian seragam selama 14 tahunnya buat terakhir kali, dan bersedia bertugas ke jawatan baru.. Seharian alin dan anak-anak tunggu dalam debar kat bilik hotel, dimana kah tempat bertugas encik suami.. dan setelah lewat petang, akhirnya.... KUCHING.. Itulah destinasi kami seterusnya. Bermakna, kami akan tinggalkan bumi kelahiran Tawau, dan berpindah ke Kuching...






.

Friday, January 3, 2014

Desa Dairy Farm, Kundasang, Ranau (Gambar)


Salam Pembaca..

Hehe, dah banyak kali ke Kota Kinabalu, dengan menggunakan kenderaan sendiri, tak pernah pun singgah tempat ni. Sedangkan tempat ni terkenal sangat dikalangan pelancong tempatan dan asing. Kira tempat yang wajib pergi. Selalu memang lalu saja simpang masuk tu, tak pernah pun nak ambil tahu. Kebetulan perjalanan terakhir kami ke Kota Belud baru-baru ini (tengok entri yang lalu), sebelum encik suami mula bekerja di tempat baru, kami sebulat suara setuju untuk singgah di tempat yang cantik ni.


Berada di sini seolah-olah berada di luar negara. Kata orang, tempat ini umpama New Zealand, memandangkan persekitarannya yang sejuk, cantik dan dengan lembu 'luar negara'. Ya, hanya di Desa Dairy Farm, Kundasang Ranau. Bukannya jauh pun simpang masuk dari bulatan luar (dekat gerai-gerai jual sayur,bunga dan buah). Alin siap WAZE lagi, hehe saja nak tengok berapa jauh dan berapa lama nak sampai tempat tu. Memang dah buat perancangan, memandangkan tempat ni buka pada 8 pagi, perjalanan dari Kota Belud, hah memang tepat pada masa, kami sampai disini. Parking saja kereta, keluar dan kaunter pun terus buka.. yeay memang kena bayar masuk dalam, termasuk kenderaan yang kita gunakan.





Untuk tips, jika ingin pemandangan yang lebih cantik, sila datang sebelum jam 9 pagi. Masa tu, bersedialah menyaksikan keindahan ciptaan Tuhan, iaitu pemandangan Gunung Kinabalu yang jelas sejelas-jelasnya tanpa kabus yang meliputinya. Maklum saja, tempat ni terletak di kaki Gunung Kinabalu.. huhu.. Dan perancangan alin memang menjadi sangat. Melopong tengok pemandangan.



Untuk info, kalau nak tengok lembu tu dilepas meragut rumput atau pun masa untuk perahan susu, memang ada masa yang tertentu. Kebetulan pula dalam visit ni, kita orang kena bergegas untuk terus balik Tawau, memang tak tunggu, dalam jam 9 pagi. Tapi sempat juga menapak perjalanan ke belakang, tak jauh pun, untuk tengok anak-anak lembu dalam kandang.


Kat sini juga ada jual cenderahati, untuk dibawa pulang. T-shirt cantik, dengan harga berpatutan, fridge magnet pelbagai saiz, topi dan pelbagai lagi. Dan yang paling best adalah susu fresh siap di packing juga ada terjual dengan dua perisa, susu segar dan perisa coklat. Sedap sangat memang berbeza dengan yang ada di jual di pasaran.



Tempat ni juga memang dah jadi destinasi untuk ambil gambar kahwin. Dalam perjalanan pulang pun, memang ada pasangan yang sedang berpakaian pengantin tengah bergambar. Pengalaman yang mengujakan, dan pasti akan singgah lagi satu hari nanti.. insha Allah kalau berkesempatan..











.